Saturday 20 July 2013

Sumbangan Tamadun Mesopotamia

 

Ukiran batu yang menunjukkan
Hammurabi menerima tauliah daripada
Tuhan Shamash. Pada ukiran batu ini
terdapat inskripsi kod undang-undang.

    Kod Undang-Undang Hammurabi.

    Kod undang-undang Hammurabi ialah sumbangan besar tamadun Mesopotamia kepada manusia sejagat. Kod undang-undang ini digubal semasa Raja Hammurabi memerintah kerajaan Babylon. Undang-undang ini berteraskan hak rakyat terhadap keadilan. Mengikut kod ini, hukuman dan denda mestilah setimpal dengan kesalahan tetapi berbeza mengikut susun lapis masyarakat. Kod ini mengandungi kira-kira 282 undang-undang yang dipahat pada tembok serta tiang besar, oleh itu rakyat dapat membaca undang-undang tersebut. Kod Undang-Undang Hammurabi telah menjadi dasar perundangan dalam tamadun Mesopotamia.

   Undang-undang ini telah berjaya mengelakkan wujudnya permasalahan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan di kalangan susun lapis masyarakat tu sendiri. Undang-undang ini telah dapat mewujudkan perpaduan dan mengukuhkan sistem organisasi dalam kehidupan masyarakat. Seterusnya, kod ini telah membantu peradaban Mesopotamia bertahan untuk jangka masa yang panjang iaitu dari tahun 3500S.M hingga tahun 539S.M.

Sudut Maklumat

Hammurabi berasal daripada keturunan Amorite. Beliau membina banyak negara kota. Pusat pemerintahannya di Babylon. Beliau telah menakluk Akkad dan menjadi raja seluruh Mesopotamia.

Contoh Kod Undang-Undang Hammurabi
  • Sekiranya seseorang bangsawan mematahkan tulang seseorang bangsawan lain, tulangnya akan dipatahkan.
  • sekiranya seseorang bangsawan mencederakan mata seseorang rakyat biasa atau mematahkan tulangnya, maka, bangsawan ini didenda satu wang perak.
 
    Kewujudan sistem tulisan telah membawa kepada sistem pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan jurutulis. Kehadiran jurutulis ini membolehkan urusan pentadbiran dan perniagaan dicatat supaya dapat direkaodkan. Dalam perdagangan, kesemua urusan jual belinya disertakan dengan resit, nota dan surat kredit.Di samping itu, sistem tulisan ini telah melahirkan tradisi kesusasteraan. Antara hasil kesusasteraannya yang terkenal termasuklah epik Gilgamesh yang merupakan hasil kesusasteraan yang tertua di dunia. Epik ini mengandungi falsafah dan cara hidup orang Mesopotamia.

Sudut Maklumat

  • Kisah tentang kepahlawanan tokoh bernama Gilgamesh. Beliau dikatakan memiliki sifat dua pertiga tuhan, satu pertiga manusia, wajah yang tampan dan susuk badan yang sasa. Beliau dikatakan memiliki kekuatan dan keberanian Gilgamesh telah memerintah serta memberikan perlindungan kepada kehidupan di kota Uruk.
  • Epik ini juga menceritakan tentang pemerintahan, percintaan, kehidupan yang kekal abadi dan kesaktian.

      Tamadun Mesopotamia menyumbang kepada perkembangan ilmu astronomi. Pencerapan terhadap pergerakan bulan, bintang dan matahari telah membawa kepada perkembangan ilmu matematik seperti
  1. sistem pengira perpuluhan
  2. menambah
  3. menolak
  4. mendarab
  5. membahagi
  6. punca ganda dua
Kemudiannya membawa kepada perkembangan ilmu geometri. Penguasaan dalam bidang astronomi telah membolehkan mereka menggunakan jalan laut dan mencipta kalendar yang berasaskan sistem solar yang mengandungi 12 bulan dalam 1 tahun. Perkembangan ilmu perubatan mendapat perhatian khusus semasa pemerintahan kerajaan Assyria kerana kerajaan ini begitu mementingkan kesihatan anggota tenteranya. Sebanyak 500 jenis ubat-ubatan termasuk herba dan ramuan perubatan telah dikatalogkan dan disampelkan penggunaannya. Cara mengubat penyakit dengan menggunakan ubat-ubatan telah dicatatkan sebagai panduan kepada pengamal perubatan.


        Salah satu kejayaan tamadun Mesopotamia adalah dalam penciptaan roda. Roda digunakan dalam menghasilkan kereta kuda sama ada untuk tujuan peperangan atau kegunaan pada masa aman. Penciptaan roda membolehkan orang Mesopotamia mencipta kincir air untuk mengalirkan air ke kawasan tandus dan meningkatkan hasil pertanian di            samping mengawal banjir.


       Tamadun Mesopotamia telah menyumbangkan ciptaan alat pengangkutan yang terawal kepada dunia. Orang Sumeria telah menggunakan kapal layar serta pengangkutan beroda sejak tahun 3000S.M. Oleh itu, mereka mempu menguasai jalan darat serta jalan laut sehingga mereka dapat berhubung dengan wilayah di India serta wilayah di kawasan Laut Mediterranean.


Lukisan arca Raja Gudea, iaitu
pengasas empayar Sumeria
        Tamadun ini memperkenalkan kepada dunia cara membuat batu bata daripada tanah liat. Dalam seni bina, mereka telah mencipta arca dan tiang batu. Contoh arca tersebut ialah patung Raja Gudea. Arca dan tiang batu dapat dilihat dalam seni bina zigurat.

       Kepimpinan berwibawa Raja Sargon telah berjaya mewujudkan kerajaan Akkad, iaitu empayar pertama di dunia. Ini adalah kerana Raja Sargon berjaya menakluk dan menyatukan wilayah-wilayah kerajaan Sumeria di selatan Mesopotamia. Beliau merupakan perintis kapada pembentukan sebuah empayar yang kemudiannya menjadi ikutan pemerintah seterusnya seperti Firaun Tutmose 111 pada zaman Mesir Purba. Mesopotamia bukan saja menyumbang kepada pembentukan sebuah sistem pemerintahan tetapi pembentukan sebuah masyarakat yang lebih berestetika.





3 comments: